8 Tip Rangkaian Kerja Untuk Personaliti Introvert

Menjalinkan rangkaian atau jaringan kerja tidak semudah yang disangka, malah terdapat juga personaliti individu yang tidak senang akan aktiviti tersebut. Rangkaian kerja adalah suatu kegiatan atau acara yang dijalankan bagi mewujudkan perhubungan dengan pihak-pihak berkenaan sebagai sumber maklumat dan bantuan, lantas mengadakan persepakatan yang baik di antara kedua belah pihak. Ianya penting bagi meningkatkan jalinan perhubungan profesional untuk perkembangan kerjaya seseorang.

Sebelum memasuki tip rangkaian kerja untuk personaliti introvert, ketahui lebih lanjut tentang panduan rangkaian kerja di blog ini. Berikut adalah beberapa rumusan tip am untuk menjalin rangkaian kerja yang baik:

1. Perbetulkan ‘mindset’

2. Kesesuaian lokasi untuk bertemu kenalan baru

3. Pengenalan pertama yang efektif

4. Tanyakan soalan yang betul semasa sesi perangkaian

 

 

8 Tip Rangkaian Kerja Untuk Personaliti Introvert

Para introvert dan mereka yang pemalu sering menghadapi masalah untuk berkomunikasi dengan baik bersama orang yang mereka tidak kenali. Oleh itu, untuk menjalinkan rangkaian kerja mungkin sukar buat mereka yang mempunyai personaliti sebegini.

Akan tetapi, rangkaian kerja penting untuk perkembangan kerjaya dan peluang pekerjaan. Jemputan temuduga juga kadangkala diterima kerana ehsan daripada kenalan terdekat. Sekiranya idea acara rangkaian membuatkan anda gementar, berikut adalah beberapa tip rangkaian kerja untuk personaliti introvert yang sedikit sebanyak dapat membantu melancarkan proses tersebut.

1. Sertai Rangkaian Dalam Talian

Antara perkara yang mencabar bagi para introvert adalah kelemahan berkomunikasi untuk menjalinkan rangkaian kerja yang baik. Menyedari hakikat bahawa mereka perlu bertegur sapa dengan orang luar sahaja cukup untuk membuat seseorang berpeluh dan berasa tidak selesa.

Jangan risau, hidup di dalam era digital kini membolehkan anda untuk sertai rangkaian dalam talian. Cara yang boleh dilakukan adalah dengan sertai komuniti aktif di Twitter yang mempunyai bidang yang sama dengan anda. Atau sibukkan diri di laman LinkedIn untuk menjalinkan hubungan rangkaian kerja yang lebih profesional.

2. Rangkaian Kerja Secara Bersemuka

Tidak semua rangkaian kerja perlu dilakukan secara besar-besaran. Komunikasi secara berkumpulan boleh menjadi suatu perkara mencabar buat para introvert, jadi perbualan secara bersemuka boleh memberi peluang untuk mereka menunjukkan kemahiran mendengar yang baik, lantas mengukuhkan lagi rangkaian kerja yang terjalin. Cadangkan temujanji di kedai kopi dan berinteraksi antara satu sama lain, atau minta rakan sekerja anda untuk membuat temujanji dengan orang luar dari rangkaian anda yang sedia ada.

3. Bawa Rakan

Merancang untuk ke majlis besar penuh dengan orang yang tidak dikenali? Cuba bertanya jika anda boleh membawa rakan sekerja atau kenalan terdekat bersama-sama anda untuk ke majlis tersebut kerana ianya dapat membantu mengurangkan perasaan gementar anda. Lebih bagus jika rakan anda itu adalah seorang yang peramah dan boleh memulakan perbualan bersama orang luar secara bersahaja.

4. Jangan Lupakan Rangkaian Lama

Adalah dinasihatkan untuk anda tidak terlalu fokus dengan menjalinkan rangkaian kerja yang baru, lalu melupakan rangkaian yang lama. Rajin-rajinkan diri untuk menghantar e-mel atau teks terhadap rangkaian lama untuk bertanya khabar dan mengemas kini perkembangan kerjaya anda dengan mereka.

Anda boleh jadualkan temujanji dan terus berhubung dengan orang di dalam rangkaian kerja lama anda. Sama seperti hubungan persahabatan, anda tidak mahu hanya berhubung apabila memerlukan bantuan sahaja.

5. Follow up, follow up, follow up!

Langkah ini penting jika anda mahu untuk terus berhubung dengan rangkaian kerja yang diperoleh semasa perjumpaan. Kumpulkan kad perniagaan dan hantar e-mel keesokan harinya. Anda disarankan untuk mengkhususkan kandungan kad dan e-mel tersebut untuk tingkatkan peluang anda untuk berjaya. Cara lain adalah dengan berhubung melalui laman LinkedIn untuk follow up.

6. Sentiasa Bersedia

Semasa anda bersiap untuk hadiri majlis rangkaian, cuba pujuk diri dengan mengatakan bahawa senjata anda adalah perbualan kecil. Jika terdapat senarai orang yang hadir ke majlis tersebut, ambil peluang ini untuk mencatat nama-nama yang anda hendak menjalinkan rangkaian. Setelah itu, cari maklumat serba sedikit tentang latar belakang kerjaya mereka bagi melancarkan perbualan di antara kalian kelak.

7. Senyum

Untuk menjalinkan rangkaian kerja yang baik adalah seperti cuba untuk berbual dengan ahli keluarga yang telah lama tidak berjumpa semasa majlis rumah terbuka hari perayaan. Tidak sopan untuk anda tidak bertegur sapa ketika majlis keramaian seperti itu bukan?

Waima anda seorang introvert sekalipun, cuba untuk senyum dan berbual kecil. Nampak remeh tetapi ianya mempunyai impak yang besar untuk menjalinkan hubungan rangkaian yang baik. Mana tahu dari perbualan kecil itulah datangnya peluang yang tidak disangka-sangka? Belum cuba, belum tahu!

8. Jadi Diri Sendiri

Tip yang terakhir dan paling penting sekali adalah dengan menjadi diri sendiri ketika sesi perangkaian. Tidak mengapa jika anda seorang introvert, tonjolkan kualiti seperti kemahiran mendengar yang baik sebagai kekuatan anda. Ianya lebih baik untuk terima diri anda seadanya daripada berlakon menjadi watak seseorang yang anda sendiri tidak berasa selesa.

 

Akhir Kata

Tiada istilah terlalu cepat atau terlambat dalam menjalinkan hubungan rangkaian kerja yang baik untuk perkembangan kerjaya anda. Cara paling berkesan adalah dengan meletakkan diri anda di luar sana, waima mempunyai personaliti sebagai introvert. Tinggalkan sebentar sifat pemalu itu dan lakukan yang terbaik!

 

Buat para introvert, semoga berjaya dengan menjalinkan rangkaian kerja di masa akan datang. Anda boleh melakukannya! Jangan lupa untuk ikuti Jobstore.com untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan banyak lagi!


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *