Tawaran Kerja: Terima atau Tolak? Nilai dengan 6 Cara Ini

Setelah sekian lama menganggur dan telah hadiri beberapa temuduga, penat lelah anda kini berhasil dengan hadirnya tawaran kerja yang sangat dinantikan! Siapa tidak seronok bukan? Jangan letakkan harapan terlalu tinggi dahulu. Apakah cara terbaik untuk menilai tawaran kerja yang diterima? Terdapat 6 cara untuk menilai tawaran kerja.

Bagi menilai tawaran kerja, adalah disarankan untuk anda pertimbangkan keseluruhan pakej termasuk skop kerja, gaji, faedah, waktu kerja, fleksibiliti, pengurusan dan budaya syarikat, pelan pencen, serta persekitaran kerja. Kesemua ini adalah faktor atau cara untuk menilai tawaran kerja yang betul. Bukan hanya setakat menilai kadar gaji sahaja ya.

Sekiranya anda menerima beberapa tawaran kerja dalam satu masa, anda boleh menilai tawaran-tawaran tersebut dengan membandingkan tawaran mana yang menawarkan kelebihan yang lebih lumayan untuk anda. Pastikan bahawa majikan baru memenuhi sekurang-kurangnya kriteria yang anda cari sebagai majikan ideal. Jika tidak, anda mungkin akan sengsara dengan majikan baru.

Pertimbangkan segala kebaikan dan keburukan, serta luangkan sedikit masa untuk menilai tawaran kerja tersebut. Sekiranya anda mahukan masa tambahan, anda boleh maklumkan kepada wakil majikan baru anda. Jom kita semak 6 cara untuk menilai tawaran kerja sebelum anda mengatakan ‘ya’ terhadap majikan baru.

 

Kadar Gaji

Semak atau kaji dahulu kadar gaji yang ditawarkan. Adakah gaji yang ditawarkan sama dengan apa yang anda harapkan? Mampukah anda untuk membayar segala bil dengan kadar gaji yang ditawarkan? Adakah kadar gaji tersebut sejajar dengan kadar gaji untuk jawatan yang anda pohon? Jika jawapan anda banyak mengatakan tidak, maka ambil masa untuk mempertimbangkan semula tawaran kerja tersebut.

Pastikan anda mendapat tawaran gaji setimpal dengan skop kerja dan anda berpuas hati dengan pampasan yang ditawarkan. Sekiranya kadar gaji tidak seperti yang anda harapkan, anda boleh cuba untuk berunding secara baik dengan bakal majikan anda.

 

Faedah yang Ditawarkan

Selain gaji, semak faedah yang ditawarkan oleh majikan baru. Penilaian pakej faedah adalah sama pentingnya dengan semakan kadar gaji. Sekiranya anda mengalami keraguan dengan pakej faedah yang ditawarkan, anda boleh meminta penjelasan atau maklumat tambahan daripada wakil majikan baru.

Butiran-butiran seperti liputan kesihatan dan insurans hayat, percutian, masa sakit, kecacatan, dan program faedah seperti rancangan persaraan haruslah dinilai sebelum menerima tawaran kerja. Tanyakan juga perihal jumlah keseluruhan kos faedah yang disediakan oleh syarikat, serta jumlah yang diharapkan untuk disumbang oleh anda sebagai pekerja. Sekiranya terdapat pelbagai pilihan yang tersedia, minta salinan perihalan rencana supaya anda dapat membandingkan pakej faedah yang ditawarkan.

 

Waktu Kerja dan Waktu Perjalanan

Antara 6 cara untuk menilai tawaran kerja adalah mempertimbangkan waktu kerja dan waktu perjalanan ke pejabat. Sekiranya jawatan baru memerlukan selama 45 atau 50 jam bekerja dalam seminggu, dan anda pula telah terbiasa bekerja selama 35 jam seminggu, anda perlu pertimbangkan jika anda akan mengalami kesukaran untuk membiasakan diri dengan jadual kerja baru. Turut nilaikan dengan betul jika jadual kerja melibatkan anda untuk sentiasa keluar dari pejabat.

Nilai juga waktu perjalanan ke dan dari tempat kerja baru anda. Adakah perjalanan tersebut akan mengambil masa yang lebih lama atau mungkinkah terdapat yuran letak kereta yang anda perlu bayar di kemudian hari?

 

Budaya dan Fleksibiliti Tempat Kerja

Sebelum menerima tawaran kerja, kaji dahulu budaya dan fleksibiliti tempat kerja baru. Terdapat pelbagai sebab untuk individu mahukan fleksibiliti di tempat kerja seperti terpaksa jaga anak kecil atau ibu bapa yang sudah lanjut usia dan perlukan pemerhatian atau penjagaan rapi. Fleksibiliti di tempat kerja adalah penting bagi memudahkan mereka untuk menunaikan tanggungjawab di rumah serta pejabat.

Ianya juga penting untuk pekerja berasa selesa dengan persekitaran kerja baru. Ada yang suka akan pejabat berkonsep terbuka, dan ada juga yang lebih suka mempunyai bilik mereka sendiri. Anda boleh cadangkan untuk membuat lawatan di tempat kerja kepada wakil majikan baru anda. Ianya adalah cara terbaik untuk melihat sendiri budaya serta persekitaran tempat kerja.

 

Potensi Perkembangan Kerjaya

Pastikan anda bertanya tentang potensi perkembangan kerjaya di jabatan baru anda. Majikan apabila merancang peranan sesuatu jawatan, mereka akan meletakkan pelan pertumbuhan khusus bagi mengekalkan bakat. Oleh itu, pertimbangkan tawaran kerja jika tiada hala tuju jelas tentang jawatan anda. Soal diri sendiri sebelum mengatakan ‘ya’:

  • Adakah skop kerja harian akan bantu mengasah bakat dan kemahiran saya?
  • Adakah jawatan ini akan menyekat saya dengan mengendalikan beberapa tugas yang sama sahaja?
  • Adakah dengan bekerja di syarikat ini membantu mengukuhkan kelayakan saya?
  • Adakah jawatan tersebut menyediakan prospek kerjaya yang lebih baik buat saya?
  • Bolehkah saya mengembangkan rangkaian profesional saya di sini?

 

Peluang Pembelajaran

Sesetengah syarikat akan menyediakan insentif khas untuk pekerja mendapatkan kemahiran tambahan bagi membantu mereka kekal relevan untuk menempuh cabaran baru dalam sesebuah industri. Sesetengah syarikat pula tidak.

Oleh itu, jangan lupa untuk bertanya akan tawaran program latihan untuk jawatan anda. Perkara ini akan membantu anda mendapatkan gambaran jelas sama ada majikan baru anda serius dalam melabur untuk perkembangan kerjaya pekerja mereka. Dan bukan hanya kisahkan tentang manfaat syarikat, tetapi juga untuk pembangunan individu.

 

Kesimpulannya

Luangkan masa untuk menilai setiap kebaikan dan keburukan tawaran kerja yang diterima. Membuat senarai juga dapat membantu memberi gambaran lebih jelas dengan pilihan anda. Sekiranya tawaran tersebut tidak menepati kriteria peribadi, ingatlah bahawa ianya bukanlah petanda dunia akan berakhir. Jangan berputus asa! Siapa tahu tawaran kerja yang seterusnya adalah lebih baik?

 

Kongsikan pengalaman mencari kerja anda atau sertakan pendapat di ruangan komen di bawah. Jangan lupa juga untuk ikuti Jobstore.com untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan pelbagai lagi!


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *