7 Set Kemahiran Yang Dicari Majikan

Menurut World Economic Forum, 35 peratus daripada kemahiran yang kita lihat sebagai penting kini bakal berubah dalam masa lima tahun akan datang. Setiap pekerjaan di dalam era teknologi tinggi kini pula memerlukan set kemahiran atau pengalaman wajar bagi memenuhi tanggungjawab tugasan harian seorang individu.

Sebelum menghantar jemputan temuduga, pengurus ambilan pekerja akan meneliti resume yang diterima bagi mencari bukti etika kerja yang kuat, atau jika calon mempunyai kemahiran analitik dan teknikal yang dicari majikan. Oleh itu, semakin banyak set kemahiran yang anda perolehi semasa belajar, semakin tinggi peluang anda untuk diterima bekerja.

 

 

Berikut adalah 7 set kemahiran yang dicari majikan untuk para “fresh grad”. Adakah anda mempunyai potensi atau bakat yang dicari-cari?

Cloud Computing

Set kemahiran ini melibatkan penggunaan pelayan jarak jauh (remote server) di dalam Internet untuk menyimpan, mengurus, dan memproses data selain daripada menyimpan data tersebut secara langsung di dalam komputer, alat peranti lain atau pelayan fizikal (physical server) yang ada di tempat kerja.

Artificial Intelligence

Artificial intelligence atau AI adalah salah satu set kemahiran yang dicari majikan dan teknologi tersebut semakin mendapat perhatian dunia di dalam era teknologi kini. Teknologi AI melibatkan penggunaan komputer bagi melaksanakan tugas yang kebiasaannya hanya dilakukan oleh manusia. Beberapa contoh popular adalah seperti kebolehan komunikasi yang boleh dilihat pada Apple Siri dan Alexa Amazon.

UX / UI Design

Sekiranya anda mempunyai latar belakang dalam bidang reka bentuk, atau berminat dalam produk-produk digital dan berkeinginan untuk bekerja dalam bidang IT, maka jawatan sebagai pereka UX / UI mungkin patut anda pertimbangkan.

UX – Merujuk kepada pengalaman pengguna (user experience) yang memberi tumpuan kepada bagaimana sesuatu berfungsi dan bagaimana seseorang berinteraksi dengannya.

UI – Merujuk kepada antara muka pengguna (user interface) yang memberi tumpuan kepada rupa dan susun atur.

Mobile Application Development

Pembangunan aplikasi mudah alih kini semakin mendapat permintaan dan perhatian daripada pelbagai syarikat bukan sahaja syarikat IT. Oleh itu, jika anda mempunyai set kemahiran tersebut, pastikan anda menyenaraikannya di dalam resume anda.

Video & Audio Production

Menurut kajian yang dibuat oleh LinkedIn, video streaming mewakili 70 peratus daripada kesemua trafik pengguna di Internet. Malah, siaran podcast juga semakin mendapat perhatian di setiap platform digital popular. Tidak hairanlah sekiranya set kemahiran video dan audio production kini semakin dicari majikan.

Sales Leadership

Sekiranya anda mempunyai kebolehan berkomunikasi dengan efektif atau mempunyai bakat dalam penjualan, sudah sampai masanya untuk anda mengasah bakat tersebut untuk diterima bekerja. Selagi sesebuah syarikat mempunyai sesuatu untuk dijual, maka mereka memerlukan bakat seperti anda untuk terus memberikan pulangan lumayan buat semua.

Translation

Sebahagian penting bekerja di sebuah syarikat global adalah kebolehan dalam berkomunikasi dengan orang di seluruh dunia. Bakat-bakat yang boleh membantu organisasi dalam menangani “language barrier” dianggap sebagai suatu aset yang berharga.

 

 

Tips Menyenaraikan Set Kemahiran Dalam Resume

Bahagian Kemahiran: Anda boleh memasukkan beberapa set kemahiran yang anda ada dalam bahagian “skills” di dalam resume anda. Elakkan daripada menulis secara berjela, sebaliknya gunakan “bullet point” untuk senaraikan kemahiran anda supaya majikan dapat melihat dengan lebih jelas.

Bahagian Pengalaman: Tekankan kemahiran tertentu yang anda pernah gunakan semasa bekerja di tempat kerja lama atau semasa internship. Elakkan daripada menipu kerana penemuduga akan bertanyakan tentang kemahiran yang anda perolehi sepanjang karier anda di sesuatu tempat.

Sepadankan Kemahiran Dengan Jawatan Yang Dipohon: Bila mana sahaja anda ingin menyenaraikan set kemahiran di dalam resume anda, pastikan anda sepadankan kemahiran tersebut dengan jawatan yang dipohon. Gunakan kata kunci kelayakan dalam “job requirement” majikan bagi memantapkan lagi resume anda.

Setiap perkara yang anda nyatakan di dalam resume anda akan mencetuskan persoalan buat para penemuduga, dan anda berkemungkinan akan diminta untuk memberikan contoh kemahiran yang anda sering gunakan semasa bekerja. Oleh itu, pastikan kesemua maklumat adalah benar sama sekali dan bukan hanya untuk menunjuk-nunjuk. 

Kongsikan pandangan anda di ruangan komen di bawah. Jangan lupa juga untuk ikuti Jobstore.com untuk informasi kerjaya, peluang pekerjaan baru dan banyak lagi.


Nurin Eznieka is a digital content writer who writes about lifestyle, tips and tricks, including career-related contents both in Malay and English languages. Nurin is a foodie who enjoys food hunting and cafe hopping during her free time.

Reach me at: nurin@jobstore.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *