Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion bagi membantu rakyat dan pemilik perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Pakej Prihatin peduli rakyat yang berkuat kuasa bermula hari ini (1 April) menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban semua pihak dengan tiada golongan yang akan tercicir.
Jumlah tersebut merangkumi peruntukan sebanyak RM10 bilion menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang akan disalurkan secara one-off kepada pekerja swasta, peneroka Felda, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah.
Berikut adalah antara bantuan-bantuan yang disediakan :
BPN
Pembayaran BPN akan dibuat dalam dua fasa pada akhir April dan Mei, sehubungan itu penerima yang layak boleh membuat semakan status mulai hari ini (1 April) di http://www.hasil.gov.my .
Permohonan adalah berdasarkan pangkalan data penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan mereka yang berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
- RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah.
- RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000.
- RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah.
- RM500 kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000.
- Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sedang dilaksanakan akan dibayar pada Julai 2020 melibatkan peruntukan RM3.2 bilion.
Pekerja (awam, swasta dan pesara)
- Bantuan tunai RM500 secara one-off kepada lebih 1.5 juta penjawat awam.
- RM500 secara one-off kepada lebih 850,000 pesara.
- RM600 sebulan bagi setiap pekerja berpendapatan RM4,000 untuk tempoh tiga bulan.
- Pengeluaran pra-persaraan dari akaun B Skim Persaraan Swasta sehingga jumlah RM1,500 bagi setiap ahli tanpa sebarang penalti cukai dalam tempoh April hingga Disember 2020.
- Pengeluaran sehingga RM500 sebulan untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama 12 bulan.
Petugas barisan hadapan
- Elaun khas dari RM400 kepada RM600 untuk petugas kesihatan dan perubatan.
- Elaun khas RM200 kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, Angkatan Pertahanan Awam dan anggota Rela.
Pelajar IPT
- RM200 bayaran one-off kepada pelajar institut pengajian tinggi.
- Penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama 6 bulan mulai 1 April 2020 hingga 30 September 2020.
Warga emas, kanak-kanak, OKU, gelandangan, orang asal
- Peruntukan RM25 juta bantuan makanan dan barangan penjagaan kesihatan kepada golongan mudah terjejas seperti warga emas dan kanak-kanak di rumah perlindungan, orang kurang upaya (OKU), golongan gelandangan dan orang asal.
Sewa rumah, premis, diskaun elektrik, Internet percuma
- Pengecualian pembayaran sewa bagi Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dilanjutkan kepada enam bulan termasuk unit sewa untuk milik.
- Pengecualian sewaan selama enam bulan untuk semua premis milik kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain. Ini termasuk semua premis milik agensi dan badan berkanun Kerajaan Persekutuan.
- Diskaun elektrik antara 15% hingga 50% mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan, berkuatkuasa selama enam bulan. Sementara itu, diskaun sebanyak 2% seperti dimaklumkan sebelum ini akan terus dinikmati oleh semua pengguna isi rumah.
- Internet percuma kepada semua pelanggan syarikat telekomunikasi sehingga tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) tamat.
Usahawan B40 dan rakyat yang hilang mata pencarian
- Satu program kewangan sosial akan diperkenalkan dan disalurkan dalam bentuk modal permulaan bagi usahawan mikro menggunakan dana zakat.
Pelaksanaan Pakej Prihatin ini bertujuan untuk memastikan aktiviti ekonomi negara berterusan, terutama dengan penyaluran tunai melalui BPN. Jika ada sebarang pendapat kongsikan di ruangan komen di bawah. Ikuti Jobstore.com untuk pelbagai panduan pekerjaan di Malaysia dan informasi terkini.