Kehidupan rakyat Malaysia dan penduduk di serata dunia untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang tidak akan kembali seperti biasa susulan penularan wabak COVID-19 sejak lebih 100 hari lalu.
Setiap daripada kita tentunya akan menjalani kehidupan dengan kebiasaan baharu atau the new normal. Ini bermaksud, apa yang biasa dilakukan dahulu, tidak boleh dibuat lagi.
Bagi golongan pekerja, persiapkan diri anda dengan beberapa amalan kebiasaan baharu yang mungkin akan diperkenalkan majikan sekembalinya anda ke pejabat selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.
Bekerja dari rumah
Bermula semalam, Malaysia memasuki fasa ketiga penguatkuasaan PKP dan tentunya rata-rata pekerja sudah terbiasa dengan konsep bekerja dari rumah atau work from home. Jika perintah kawalan yang sepatutnya berakhir pada 28 April 2020 dilanjutkan lagi maka, tidak sukar untuk pekerja menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu ini.
Tidak berjabat tangan
Lupakan tradisi berjabat tangan ketika berjumpa rakan sekerja atau pelanggan walaupun dianggap janggal atau tidak beradab. Langkah ini penting untuk mengelak jangkitan virus. Cukup sekadar tunduk sebagai tanda hormat.
Kerap basuh tangan/ pakai topeng muka
Biasakan membasuh tangan dengan lebih kerap. Gunakan sabun dan hand sanitizer di samping memakai topeng muka termasuk ketika berada dalam pejabat. Amalan penjagaan kebersihan yang rapi turut merangkumi etika batuk dan bersin.
Perubahan ruang pejabat
Jangan terkejut jika meja kerja anda tiba-tiba jauh daripada rakan sekerja kerana ruangan pejabat mungkin disusun atur semula bagi pelaksanaan penjarakan sosial atau social distancing. Perubahan akan turut melibatkan ruang-ruang lain di pejabat. Langkah ini secara tidak langsung dapat mencegah jangkitan virus.
Sentiasa jaga kebersihan meja kerja
Pastikan meja kerja anda sentiasa dalam keadaan bersih. Lap permukaan yang kerap disentuh seperti meja, komputer dan tetikus. Gantikan alas meja setiap hari sekiranya kemudahan itu disediakan oleh majikan.
Perubahan waktu kerja
Sesetengah syarikat mungkin akan melaksanakan sistem penggiliran kerja bagi mengehadkan jumlah pekerja di pejabat pada setiap hari.
Kurangkan mesyuarat/ tangguh acara besar
Majikan akan mengurangkan mesyuarat sekiranya tiada keperluan mendesak. Selain itu, anda juga perlu fahami yang tiada sebarang acara keraian syarikat seperti makan malam tahunan, hari keluarga atau lawatan ke luar negara akan diadakan sepanjang tempoh ini.
Penyediaan perkhidmatan kaunseling
Segelintir majikan juga mungkin akan menyediakan perkhidmatan kaunseling buat pekerja mereka yang kehilangan insan tersayang akibat wabak COVID-19.
Walaupun anda terpaksa mengharungi pelbagai kebiasaan baharu di pejabat namun, ia bukan alasan untuk anda menjejaskan prestasi kerja cemerlang masing-masing. Layari Jobstore.com untuk informasi terkini, panduan pekerjaan dan kerja kosong di Malaysia.